Sometimes when you Love someone you will get tired of them, too many Fights, Misunderstandings, Argument, Forgiveness & Sorry. And when the time comes you will realize that all of the Sacrifices & Tiredness will make your relationship Stronger.

Thursday, 23 February 2012

Puasa & Pantang 'Prapaska'

Dengan penerimaan abu di kepala sempena dengan Hari Rabu Abu, maka bermulalah puasa dan pantang sepanjang 40 hari sehinggalah pada hari Jumaat Agung@Good Friday dan seterusnya Sabtu Suci yang diikuti oleh perayaan terbesar iaitu Paska. Pada masa puasa dan pantang menyeru seluruh umat Kristian Katolik untuk berpuasa bukan sahaja melalui makanan tetapi melalui perbuatan, sikap dan paling penting adalah dari segi rohani serta bertobat dari segala perbuatan-perbuatan yang tidak baik. 

Saya masih lagi ingat akan khutbah yang diberi oleh Bishop Cornelius Piong pada Misa Senja Rabu Abu pada hari Selasa yang lalu. Beliau mengatakan bahawa kita seharusnya sedar bahawa kita telah dijadikan dari abu dan kita akan kembali kepada abu apabila kita meninggal kelak. Beliau juga mengatakan bahawa berdoa adalah sangat penting dalam komunikasi kita dengan Allah Pencipta dan harus menjadi budaya dan amalan dalam kehidupan. 

Melalui renungan yang terdapat dalam risalah juga ada mengatakan bahawa apabila kita percaya kepada Tuhan 100%, maka pasti ada perasaan damai di dalam hati. Sifat percaya akan lahir apabila kita mahu belajar untuk menghargai dan mengalami kuasa percaya yang tidak ada had, tanpa syarat dan tanpa was-was, apabila kita berkata YA kepada Tuhan. Tetapi sejauh manakah kepercayaan kita terhadap Tuhan apabila menghadapi suatu keadaan yang sungguh mencabar iman kita? Saya sedar bahawa kita semua mempunyai kelemahan masing-masing dan sama-samalah kita memeriksa diri kita sendiri dan menyenaraikan sikap-sikap, gaya negatif yang ingin kita perbaiki selama musim puasa ini. 

Semoga musim Prapaska ini kepercayaan kita dikuatkan lagi. Saya yakin bahawa Tuhan itu sentiasa ada bersama kita di mana sahaja kita berada kerana Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang akan umat-umatnya. 

Post saya pada hari ini adalah untuk berkongsi dengan sesiapa yang membacanya. Dan kepada para umat Kristian Katolik, selamat menjalani musim puasa. Semoga Tuhan memberkati kita semua. Amen.





No comments:

Post a Comment